Ahad, 26 Jun 2011

Perasmian Program MGS dan Ceramah Isra' Mikraj

       Pada 26 Jun 2011, Program Membina Generasi Solat, Masjid Bechah Semak telah dirasmikan oleh  Tuan Haji Anuar Al Sadat bin Haji Nor, Pegawai Agama (Qadhi) Jajahan Pasir Mas, Kelantan. Majlis bermula jam 6.40 petang dengan kehadiran semua anak qariah masjid yang mengikuti program MGS beserta ibu bapa mereka dan ahli qariah yang lain. Kehadiran sangat membanggakan dengan jumlah melebihi 100 orang. 

       Majlis dimulakan selesai solat Maghrib, dengan ucapan aluan oleh Ustaz Zahrain b Hj Saleh, Imam Muda Masjid yang begitu teruja dengan kedatangan Pegawai Agama Jajahan Pasir Mas ke Masjid Bechah Semak untuk sekian kalinya. Beliau turut mengharapkan agar ibu bapa bersama anak-anak dalam majlis tersebut dapat mengambil iktibar dari apa yang telah dilakukan oleh pihak masjid terhadap pembinaan solat dalam diri anak-anak ahli qariah. Bermula bulan Februari yang lalu dan akan tamat pada bulan Julai nanti, beliau sangat mengharapkan supaya ibu bapa mengambil berat tentang solat anak-anak.


       Tuan Haji Anuar Al Sadat, Pegawai Agama Jajahan Pasir Mas, dalam ucapan perasmian dan ceramah isra' mikraj pula banyak memberi penekanan mengenai tanggungjawab ibu bapa terhadap anak-anak dalam hal solat. Beliau sedia memberi kerjasama kepada pihak masjid supaya meneruskan program MGS, biar pun program sebenar akan tamat pada bulan Julai nanti. 


       Beliau turut menyentuh peristiwa dalam isra' dan mikraj Rasulullah dan kaitannya dengan fenomena serta realiti yang berlaku pada hari ini. Beliau meminta ibu bapa supaya dapat menjaga anak-anak supaya tidak terlibat dalam gejala sosial yang cukup membimbangkan. Selain itu, beliau menyeru agar ibu bapa membawa anak-anak ke masjid untuk sama-sama bersolat jemaah agar tersimpan dalam hati mereka nanti mencintai masjid serta jemaah di masjid akan berterusan sehingga bila-bila.

Sebahagian ahli qariah yang hadir

Anak-anak ahli qariah yang mengikuti program MGS
Anak-anak perempuan ahli qariah program MGS


Ceramah Pegawai Agama turut mencuit hati jemaah